PUTRAJAYA 3 Julai – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilihat tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dipercayai bagi membantu siasatan 1MDB.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi mengejutkan petugas-petugas media yang hadir di perkarangan ibu pejabat SPRM itu bagi menunggu ketibaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Shahrir ketika ditanya tujuan kehadirannya berkata, beliau dipanggil oleh SPRM.
“Mestilah (dipanggil SPRM). Kan saya ada buat pengakuan terima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Sebelum ini, portal berita, Sarawak Report pernah melaporkan bahawa Najib menyalurkan dana kewangan kepada beberapa pemimpin UMNO termasuk RM1 juta kepada Shahrir.
Malah, Shahrir juga pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa penerimaan bantuan daripada Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri untuk mana-mana bahagian adalah perkara biasa.-UTUSAN ONLINE










