Bekas ejen penghantar didakwa atas 54 pertuduhan palsukan resit rasmi Kastam - Utusan Malaysia

Bekas ejen penghantar didakwa atas 54 pertuduhan palsukan resit rasmi Kastam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang bekas ejen penghantar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 54 pertuduhan memalsukan resit rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan kerugian berjumlah RM1.6 juta antara 2013 hingga 2015.

Darus Daud, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, Darus didakwa atas 54 pertuduhan menggunakan satu dokumen iaitu resit rasmi JKDM sebagai dokumen palsu antara 2013 hingga 2015 dan kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di No 176B Jalan Batu Unjur 1, Taman Bayu Perdana, Klang.

Darus yang kini berniaga di pasar malam didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Nithtia yang tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah berikutan dia perlu bekerja kerana masih menyara tiga orang anak yang masih bersekolah dan kedua ibu bapanya selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, selain perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap hari Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Kes disebut semula 28 Ogos ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN