JERANTUT 18 Julai – Pusat penginapan pelancong berkonsepkan etnik Orang Asli iaitu Batek Jungle Hut di Dedari, Taman Negara Kuala Tahan dekat sini semakin popular apabila menjadi tumpuan ramai khususnya pengunjung dari luar negara.
Batek Jungle Hut menjadi pilihan pelancong kerana kunjungan ke situ membolehkan mereka mengenali budaya dan kesenian Orang Asli etnik berkenaan di pusat pelancongan hutan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun tersebut.
Ahli jawatankuasa projek Batek Jungle Hut, Roslan Abu Kassim, 52, berkata, perkampungan Orang Asli di situ antara destinasi baharu tumpuan pelancong seluruh dunia untuk mengenali budaya dan kesenian kaum minoriti berkenaan di Taman Negara Kuala Tahan.
“Kejayaan kita membawa pelancong Denmark menginap di sini antara faktor yang merintis kejayaan projek Batek Jungle Hut yang memfokuskan bidang ekopelancongan dan penglibatan komuniti setempat terhadap bidang berkenaan berasaskan konsep ‘Community Based Tourism’.
“Pelancong ini menginap di pondok kayu hutan hasil usaha penduduk Orang Asli di samping berpeluang berinteraksi dengan lebih dekat dan memahami senario budaya etnik Batek,” katanya di perkampungan Orang Asli di Dedari baru-baru ini.
Roslan yang juga Pengerusi Taman Negara Bird Group (TNBG) berkata, pelancong berkenaan turut menyertai aktiviti mendaki Bukit Dedari, berekreasi di Jeram Dedari, mempelajari cara Orang Asli menyalakan api, menyumpit sasaran dan menjelajah hutan tropika berdekatan kampung berkenaan.
Sementara itu, seorang pelancong dari Denmark, Maren Annelise, 19, berkata, dia teruja apabila mengunjungi dan dapat mengenali budaya masyarakat Orang Asli etnik Batek di Taman Negara yang mempunyai khazanah kehidupan unik berbanding tempat lain.
“Khazanah mereka (Orang Asli) perlu dipulihara sebagai aset pelancongan yang boleh menjadi tarikan orang luar ke sini di samping budaya dan kesenian berkenaan dapat ditonjolkan di peringkat antarabangsa menerusi pendokumentasian serta laman sesawang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tok Batin Dedari, Sena Selama, 50, berkata, projek Batek Jungle Hut membuka peluang pendapatan kepada anak buahnya apabila banyak aktiviti membabitkan pelancong asing ke situ.
“Orang Asli di sini berterima kasih kepada TNBG dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri kerana mencetuskan idea dan usaha merangsang kami terbabit sepenuhnya dengan bidang ekopelancongan di sini,” ujarnya.










