BAGAN DATUK 1 Julai – Tradisi baraan atau mengunjungi rumah saudara, kenalan dan jiran sekampung merupakan amalan yang dilakukan oleh penduduk di sini setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Baraan ialah istilah daripada masyarakat Jawa yang bermaksud berjalan-jalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan pada Hari Raya Aidilfitri yang merupakan tradisi etnik itu.
Aktiviti baraan ternyata tidak lenyap dalam kalangan penduduk di sini malah masih tetap diamalkan dengan penuh meriah pada hari raya bertujuan mengeratkan silaturahim .
Mereka secara berkumpulan berkunjung ke rumah jiran sekampung sambil menikmati pelbagai juadah biskut raya, lemang, ketupat, rendang dan berbual-bual seterusnya bermaafan.
Turut diadakan adalah bacaan tahlil dan bertakbir di rumah-rumah yang dikunjungi sekali gus mencerminkan kemeriahan menjelang 1 Syawal.
Sepanjang bulan Syawal, dalam sehari mereka mengunjungi kira-kira 15 hingga 20 buah rumah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrulzaman Yahya, baraan lebih meriah diadakan di kawasan kampung kerana suasana masyarakatnya yang terkenal dengan semangat persaudaraan dan kejiranan tinggi.
Walau bagaimanapun, jelasnya, ada juga generasi muda yang tidak begitu mengetahui tentang aktiviti berkenaan.
“Apabila anak muda pulang ke kampung menyambut hari raya, inilah masanya untuk mereka mengenal apa itu baraan yang merupakan tradisi perlu dipelihara kerana ia amat baik untuk hubungan sesama penduduk.
“Selain itu, baraan juga memberi peluang kepada semua penduduk untuk saling mengenali antara satu sama lain khususnya generasi muda yang tinggal di bandar,” katanya.
Dalam kunjungan itu, penduduk mungkin dapat bertemu warga emas yang tidak mampu lagi berjalan atau keluar rumah kerana keuzuran akibat faktor usia.
Katanya, kunjungan sedemikian sudah tentunya memberikan makna yang amat besar buat golongan tersebut.
“Tradisi baraan ini biasanya dilakukan atas permintaan ketua-ketua kampung kerana mereka juga mahu majlis ziarah ini turut diadakan majlis bacaan yasin dan takbir di rumah-rumah yang diziarahi,” ujarnya.
Shahrulzaman menambah, walaupun agak memenatkan, namun ia tidak menghalang budaya saling ziarah menziarahi itu diteruskan.
Katanya, keseronokan dapat bertemu dengan rakan dan jiran sekampung mengatasi kepenatan.
“Kadang kala sampai 20 rumah dikunjungi dan ini tentunya memenatkan bagi mereka yang sudah berusia lanjut, namun mereka tetap bersemangat kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada tradisi baraan ini,” katanya.











