PASIR MAS 3 Julai – Seorang warga emas, Natrah Hamzah, 65, menarik nafas lega selepas bahagian dapur rumahnya yang dihempap sebatang pokok kekabu berusia 100 tahun minggu lalu mendapat perhatian Pertubuhan Prihatian Rakyat Kelantan (Prikel).
Prikel yang diketuai Presidennya, Mohd. Noor Che Man menyerahkan sumbangan wang tunai selain sedang berusaha mengumpulkan dana untuk membaik pulih bahagian dapur rumah Natrah Hamzah, 65.
Natrah berkata, sumbangan tersebut amat bermakna buat seluruh ahli keluarga selepas bahagian dapur rumahnya ranap dihempap pokok berkenaan termasuk tandas.
“Mujurlah, kejadian itu berlaku pada hari ketiga sambutan Aidilfitri. Jikalau hari raya pertama, ia pasti memeritkan kami sekeluarga untuk menyambut lebaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Pandak, Pengkalan Pasir di sini, semalam.
Natrah memberitahu, dia juga lega apabila salah seorang anak perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terselamat daripada runtuhan itu.
Katanya, ketika kejadian. anak perempuannya itu berada di bilik yang terletak bersebelahan bahagian dapur.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa berlaku dan ini merupakan kejadian pertama yang menimpa kami sekeluarga.
“Buat masa ini, bahagian dapur rumah saya masih lagi berbumbungkan langit sejak kejadian tersebut. Disebabkan masalah itu saya dan keluarga terpaksa membeli makanan di kedai sementara dapur rumah dibaik pulih,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Noor berkata, pihaknya sedang mengumpulkan dana untuk membantu warga emas berkenaan bagi membaik pulih bahagian dapur rumahnya yang rosak.
Katanya, ini bagi membolehkan warga emas berkenaan bersama ahli keluarganya kembali menjalani hidup dalam keadaan lebih selesa.
“Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menyalurkan bantuan ke akuan Public Bank, 3815615722 milik Prikel.
“Selain itu, dana yang disalurkan juga dimanfaatkan kepada golongan kurang bernasib baik bagi meringankan beban mereka,” katanya.










