BAHANG aksi Kejuaraan Welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) antara penyandang, Lucas Matthysse dan Manny Pacquiao ‘semakin panas’ menjelang pertarungan yang akan berlangsung Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Pada sesi timbang berat badan yang dilakukan Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam, ratusan penyokong Pacquiao hadir memberi sokongan kepada petinju yang diberi jolokan Pacman itu.
Ia sekali gus memberi tekanan kepada petinju veteran berusia 39 tahun itu untuk berdepan Matthysse.
Terdahulu, Pacquiao yang juga petinju legenda Filipina mendedahkan pertarungan tersebut adalah penentu baginya sama ada mahu meneruskan perjuangan di gelanggang tinju atau sebaliknya.
“Sudah tentu saya teruja untuk muncul juara sekali lagi dan ia menjadi motivasi untuk bertarung dengan aksi terbaik untuk merebut gelaran juara.
“Saya suka cara bertarung Matthysse yang sangat agresif. Pertarungan seperti ini yang saya mahukan. Saya juga memberi jaminan bahawa semua peminat sukan lasak ini pasti akan terhibur dengan pertarungan tersebut,” jelasnya.
Sesi timbang berat badan tersebut berjalan dengan lancar yang memperlihatkan Pacquiao ditimbang seberat 66.22 kilogram (kg) dan Matthysse seberat 66.54kg.
Sebagai rekod, Matthysse yang juga petinju dari Argentina tampil pada aksi tersebut menerusi rekod 39 kemenangan dan empat kekalahan, manakala Pacquiao merekodkan 59 kemenangan, tujuh kalah dan dua seri.
Perlawanan kemuncak Fight of Champions melibatkan kedua-dua petinju itu bermula pukul 11 pagi dan ia disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).










