KANGAR 20 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang bermula pada 23 Julai ini bakal mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya wakil rakyat dalam kalangan pembangkang akan dilantik mengisi jawatan Timbalan Speaker DUN.
Hal demikian kerana, kesemua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sekali gus tidak membolehkan dalam kalangan mereka dipilih menjadi Timbalan Speaker yang dikhususkan hanya untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sesi pengundian bagi jawatan Timbalan Speaker itu dijangka dilakukan pada hari pertama Sidang DUN, 24 Julai ini.
Difahamkan pembangkang telah sepakat untuk mencalonkan nama Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) dan Mohd. Shukri Ramli (Pas- Sanglang) bagi mengisi jawatan tersebut.
Bagi jawatan Speaker DUN, Datuk Hamdan Bahari sekali lagi dilantik mengisi jawatan berkenaan apabila namanya
dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan disokong oleh ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad dalam majlis mengangkat sumpah jawatan di Kompleks DUN di sini hari ini.
Pada majlis itu, kesemua 15 ADUN telah mengangkat sumpah jawatan yang dimulai oleh Azlan dan barisan Exco iaitu Asmaiza; Nurulhisham Yaakob (BN) Simpang Empat); Azizan Sulaiman (BN-Santan); Hamizan Hassan (BN-Kayang);
Ruzaini Rais (BN-Beseri); Roziena Ahmad (BN-Pauh); Siti Berenee Yahya (BN- Mata Ayer) dan Teh Chai Ann (BN-Titi Tinggi).
Tiga ADUN PKR iaitu Asrul Nizan Abd. Jalil (PKR-Sena); Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan); Nor Azam (PKR-Kuala Perlis) kemudian mengambil giliran untuk mengangkat sumpah diikuti ADUN Pas, Mohd Shukri (Pas- Sanglang) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji).
ADUN Bebas iaitu Datuk Ismail Kassim (Bebas – Tambun Tulang ) yang mengumumkan keluar daripada BN pada 20 Jun lalu menjadi individu terakhir mengangkat sumpah jawatan itu.
Majlis mengangkat sumpah itu berlangsung dengan sempurna meskipun pada peringkat awal Ismail bangun mempersoalkan mengenai pelantikan Speakar yang didakwa tidak dimaklumkan lebih awal kepada wakil pembangkang.
Persidangan Penggal Pertama Dewan DUN Perlis ke-14 akan berlangsung pada 23 Julai ini selama tiga hari dan dijadual dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – UTUSAN ONLINE










