Atur segera kerja pulih parti - Utusan Malaysia

Atur segera kerja pulih parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Jun – Gerak kerja berkaitan penstrukturan semula yang mahu dilakukan terhadap UMNO perlu diatur dan dilaksanakan secepat mungkin selepas Presiden, Timbalan Presiden dan barisan tertinggi kepemimpinan parti itu diputuskan dalam pemilihan hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selepas urusan pentadbiran parti seperti pembahagian tugas selesai, perkara seterusnya yang perlu diberi ke­utamaan adalah hal-hal berkaitan keahlian.

“Mula-mula, kita kena tambah ahli dan pastikan ahli itu berkualiti. Kita kena buat pemutihan. Hari ini kita dapati ramai ahli yang sudah meninggal dunia atau menyertai parti lain, nama mereka masih ada. Ini bukan di Kelantan sahaja, ini masalah UMNO di seluruh negara.

“Seterusnya, kita kena permudahkan orang ramai untuk jadi ahli. Saya terima banyak laporan keahlian ditolak, belum diluluskan atau borang hilang sehingga penyokong kita marah. Benda ini nampak remeh tapi inilah yang perlu ditangani dulu dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli, di Kompleks UMNO Jeli, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, penstrukturan semula atau transformasi terhadap UMNO kali ini perlu bersifat radikal dan antara aspek wajib diberi penekanan ialah perubahan sikap, disiplin dan daya juang setiap ahli tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Ada parti tertentu, ahlinya berjuang dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ‘pelincir’. Mereka sanggup pulang beramai-ramai mengundi parti mereka. Ahli kita pula terlalu bergantung kepada bantuan kewangan tanpa mahu berkorban,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru semua calon dan penyokong masing-masing, sama ada pihak yang menang atau tewas dalam pemilihan UMNO hari ini supaya berjiwa besar bagi memastikan perjuangan parti dalam membela Melayu dan agama Islam dapat diteruskan.

Katanya, dengan situasi parti dalam keadaan lemah sekarang, saf perpaduan perlu dirapatkan bagi membolehkan UMNO bangkit dan mampu menjadi parti yang berpengaruh semula.

“Kalau kalah, sekurang-kurangnya kita dah cuba. Kali ini calon ramai, sedangkan jawatan tak banyak. Tetapi bagi saya, yang kalah tidak patut kita ketepikan kerana masing-masing ada ke­lebihan. Yang menang patut berjiwa besar.

“Tetapi tak cukup yang menang sahaja perlu berjiwa besar. Yang kalah pun perlu berjiwa besar. Janganlah sampai mahu tinggalkan parti atau masuk parti baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN