KUALA LUMPUR 20 Julai – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia berdebat dengan mana-mana calon yang akan bertanding pada Pemilihan PKR 2018.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau juga tidak akan menghalang mana-mana calon untuk bertanding selain turut menyertai perdebatan berkenaan.
Hal ini kerana, katanya, calon-calon mesti adil dalam parti, mempunyai rekod dalam perjuangan dan kepimpinan yang berlandaskan perjuangan.
“Saya tidak ada halangan kalau calon-calon bersetuju.
asalkan keadilan dalam parti, mesti ada rekod dalam perjuangan, kepatuhan dalam kepimpinan dan landasan perjuangan.
“Itu semua termasuk dalam konteks perbahasan. Saya ingin tekankan bahawa saya ambil keputusan untuk menawarkan menjadi Presiden PKR untuk mantapkan parti sebagai satu wadah, bukan untuk memecah dan memperkotak-katik mengikut selera masing-masing,” katanya menerusi laman Skype langsung dari Turki bersama Astro Awani hari ini.
Menjelang Pemilihan PKR 2018, Astro Awani menerusi Debat Awani akan membuka pentas perdebatan calon-calon pemilihan itu dalam program yang diberi nama Debat Pemilihan PKR.
Pemilihan parti akan diadakan pada akhir bulan Ogos, sementara pencalonan mesti diserahkan sebelum pada 29 Julai. -UTUSAN ONLINE










