KANGAR 19 Julai – PKR negeri ini menyifatkan gabungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti itu adalah yang terbaik.
![]() |
|
Mohammad Faisol Abd. Rahman
|
Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman berkata, bagaimanapun pihaknya tetap menghormati prinsip demokrasi jika kedua-dua jawatan tertinggi parti itu bakal melibatkan pertandingan dalam pemilihan akan datang.
“Kita hormati dan amat mengalu-alukan hasrat Anwar bertanding jawatan Presiden. Kami menyokong kerana beliau (Anwar) adalah bapa reformasi.
“Beliau berhak untuk kembali mengukuhkan parti. Gabungan Anwar dan Azmin adalah yang paling terbaik. Namun jika ada juga pertandingan, maka kita hormati dasar demokrasi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Wanita PKR menggesa pertandingan mana-mana jawatan dalam parti itu dibuka tanpa sebarang sekatan.
Ketuanya, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, dalam pada tawaran Anwar untuk bertanding jawatan Presiden diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat.
Pada Ahad lalu, Anwar membuat keputusan untuk menawar diri bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang setelah berbincang dengan Datin Ser Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Mohamed Azmin dan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan parti berkenaan.
Dalam pada itu juga, Mohamed Azmin pula masih berteka-teki dan enggan menjawab sama ada mahu menentang Anwar untuk merebut jawatan Presiden parti itu atau tidak.- UTUSAN ONLINE










