KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan spekulasi apabila mengumumkan menawar diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu pada Ogos depan.
Menurut Anwar, keputusan itu dimuktamadkan selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR ketika ini, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan kepimpinan lain.
Anwar, 71, berkata, keputusan bertanding jawatan Presiden itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta akar umbi yang mahukan beliau menggantikan Wan Azizah, 66.
“Setelah berbincang dengan Azizah, Timbalan Presiden dan barisan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bersama jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR.
“Insya-Allah sekiranya mandat diperoleh daripada akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden PKR selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November 2018,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi Facebook semalam.










