GIMIK dan kontroversi umpama asam garam dunia seni yang menyerikan dunia seni malah tidak dinafikan hal sedemikian mampu memberi impak tersendiri kepada seseorang artis.
Tidak kira positif atau negatif, selalunya isu-isu sebegini memberi ruang kepada artis untuk menjadi bahan bualan, sekali gus menaikkan nama dan populariti mereka.
Sehinggakan ramai kalangan artis hari ini terutama yang baru berjinak-jinak dalam industri seni suka membuat gimik dan kontroversi yang adakalanya nampak murahan sehingga ramai beranggapan hal itu hanyalah sekadar strategi pemasaran untuk melariskan karya atau produk baharu mereka.
Sejauh mana relevannya cara tersebut sebagai jalan pintas meraih populariti, sekali gus menaikkan nama seseorang artis?
Berkongsi pendapat berhubung hal berkenaan, penyanyi Haiza Hanafi mengakui, kurang bersetuju dengan strategi sebegitu biarpun tujuannya untuk melancarkan mahupun melariskan produk baharu.
Menurut penyanyi lagu Dag Dig Dug itu, seandainya diberi pilihan, dia lebih senang memilih mempromosikan karya dengan cara lazim tanpa membabitkan sebarang kontroversi kurang sihat.
“Gimik dan kontroversi hanya akan mengundang fitnah orang. Kalau tanya pendapat saya secara peribadi, memang saya tak setuju untuk melakukan gimik sebagai salah satu cara melariskan produk atau karya.
“Banyak cara lain lagi yang boleh kita lakukan untuk memperkenal karya atau produk misalnya mencari medium yang betul untuk orang mendengar lagu kita.
“Tak perlu nak buat gimik yang menyentuh sensitiviti kemudian menyerlahkan perkara yang tak elok dipandang hingga menjadi buah mulut orang kerana itu boleh mengundang fitnah.
“Malah jika dilakukan selalu akan menjadi penyakit apabila penularan fitnah berlaku dan merebak dalam ruangan komen laman-laman sosial. Bagi saya ini bukan benda yang sihat dan perlu dihentikan segera,” katanya.
Menurut Haiza, pada usianya yang sudah menghampiri empat dekad, dia juga merasakan sudah tidak sesuai untuknya menjadikan gimik dan kontroversi sebagai bahan mempromosi diri semata-mata untuk kekal relevan dalam industri.
“Sebagai artis yang sudah lama dalam dunia seni, saya lebih selesa untuk mengikut peredaran. Biarlah orang nak cakap saya ini lambat atau kurang popular dan sebagainya asalkan saya mampu terus mencari rezeki dalam bidang ini.
“Lagi pun orang yang seusia saya ini sudah tidak sesuai nak buat gimik-gimik itu semua. Nampak tak sesuai,” katanya lagi.
Mahu tambah anak
BERALIH kisah kehidupan peribadi, Haiza yang juga penyampai radio Kool FM mengakui, sedang merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga.
Malah ibu kepada Nur Iman Syafie, 7, berharap agar peminat dapat mendoakan dia diberikan rezeki untuk hamil bagi melengkapkan keluarga kecilnya.
“Nak dapat anak sulung dulu pun lama… dekat lima tahun. Malah pada usia saya sekarang yang sudah 38 tahun, memang tak ada masa lagi nak relaks (dapatkan anak).
“Saya memang nak tambah cahaya mata dan jika doa dimakbulkan saya terlalu inginkan anak perempuan. Kalau dapat sepasang, saya benar-benar bersyukur,” ungkapnya.
Ditanya tentang cara tradisional atau moden yang digunakan untuk proses mempercepat kehamilan, menurut Haiza, dari awal perkahwinannya dengan Norhanaphe Omar, dia tidak mengambil atau mengamalkan sebarang ubat-ubatan.
“Dari awal berkahwin memang saya tidak ambil sebarang ubat-ubatan. Berurut tradisional untuk betulkan rahim dan sebagainya pun saya tak buat.
“Saya dan suami hanya bersabar, berusaha dan penantian kami itu dihadiahkan dengan kelahiran anak sulung. Bila anak sudah besar, dia pun kini pandai meminta nak adik.
“Cuma kalau ada orang bertanya tak mahu tambah anak, saya hanya akan minta mereka doakan yang terbaik.
“Saya mahukan dua orang anak tetapi kalau diberi lebih pun saya gembira,” ujarnya.








