SHAH ALAM – Anak tempatan dan tokoh agama merupakan antara kriteria wakil rakyat yang dimahukan oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, demikian menurut kaji selidik yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini.
Kluster Penyelidikan IDE dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, kaji selidik bertajuk Survei Persepsi Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 DUN Sungai Kandis itu menunjukkan bahawa 35 peratus daripada pengundi mengharapkan calon berkenaan adalah anak tempatan dan 13 peratus meletakkan tokoh agama.
Sementara 48 peratus lagi inginkan calon tersebut setanding dengan wakil rakyat terdahulu.
“Calon yang mempunyai latar belakang anak tempatan dilihat lebih memenuhi kehendak pengundi yang inginkan suara kepimpinan lokal mewakili mereka. Selain itu, pengundi juga berharap wakil rakyat yang dipilih mampu untuk menjalankan tugas setanding dengan wakil rakyat terdahulu,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) calon PKR, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, Pas dan Parti Rakyat Malaysia.
PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU-14 berikutan kematian Mat Shuhaimi akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas dan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Lokman berasal dari Batu Pahat, Johor; Murthy dari Klang sementara Mohd. Zawawi dari Jalan Kebun, Klang.










