KUALA LUMPUR – Anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa Najib meluahkan perasannya dalam Instagram miliknya susulan penahan bekas Perdana Menteri itu semalam.
Nooryana Najwa memuat naik sekeping gambar Najib yang sedang mendukung anaknya, Adam Razak dengan catatan pendek.
“Tiada yang lebih baik, penyayang dan budiman seperti lelaki ini. Dia mempunyai kekuatan emosi dan mental lebih daripada kami semua.
“Walaupun diuji hari ini, dia tersenyum, ketawa dan memeluk kami semua…lebih risaukan keluarga berbanding dirinya,” ujarnya yang lebih mesra dipanggil Yana.
Yana menjelaskan, selama 42 tahun bapanya berkecimpung dalam politik, Najib hanya memikirkan mengenai rakyat apabila bangun tidur sehingga masuk tidur.
Najib ditangkap semalam dan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini berhubung kes bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), SRC International Sdn. Bhd. – K! ONLINE










