LUMRAH kehidupan remaja tidak lepas daripada berperangai nakal. Seringkali dimarahi orang sekeliling dan dirotan kerana kenakalannya tidak pernah menimbulkan rasa serik di hati. Begitulah rentetan awal kehidupan zaman remaja pelakon yang dikenali sebagai Amyza Aznan, 42.
Bercerita tentang kehidupan, anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini mengakui dia seorang yang agak agresif satu ketika dahulu. Mungkin kerana kedudukannya sebagai anak yang paling tua menyebabkannya ingin mencari perhatian lebih daripada orang lain.
“Biasalah nama pun anak sulung jadi tanggungjawab tu berat sedikit. Pulang sahaja daripada sekolah terpaksa membantu emak menjaga adik-adik, suapkan mereka makan, mandikan dan sebagainya. Kadang-kadang kalau mereka buat salah pun kita pula yang kena rotan.
“Mungkin disebabkan itu, saya lepaskan perasaan dengan mengusik rakan-rakan. Bukan apa dengan cara begitu barulah rasa seronok. Tapi tak adalah keterlaluan pun. Lagi pula zaman dulu manalah ada gajet macam hari ini,” ujarnya tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Menyingkap perjalanan pelakon kelahiran Alor Gajah, Melaka ini, dia dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana dan cukup segala-galanya. Pun begitu dia menerima didikan yang agak tegas memandangkan ayahnya, Aznan Ibrahim, 62, merupakan seorang anggota polis.
“Sewaktu kecil dulu, saya cukup takut dengan ayah sebab dia memang terkenal dengan garangnya. Tak boleh buat salah sikit pasti kena hukum. Saya ingat lagi satu peristiwa yang mana saya kena ikat dengan ayah pada pokok gara-gara mengenakan kawan dalam kelas.
“Masa tu saya ke sekolah dengan menaiki bas bersama rakan-rakan. Nak dijadikan cerita, ada seorang pelajar lelaki yang sering mengganggu saya ketika itu. Geram dengan perangai pelajar tersebut keesokan harinya saya bawa gam tikus dan letak pada kerusi dia dalam kelas. Habis seluar dia kena gam tersebut. Tak sangka pula cerita tersebut sampai ke telinga ayah.
“Ayah pula jenis yang pantang kalau ada orang mengadu kepada dia perihal perangai kami adik-beradik. Apalagi balik sahaja daripada sekolah, dia terus heret saya ke halaman rumah dan libas dengan tali pinggang. Masa tu sakitnya tak terkira. Nasib baiklah mak datang memujuk ayah agar menghentikannya segera. Tidak habis di situ, ayah ikat pula saya pada pokok sampai waktu maghrib,” ujar bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah Melaka ini lagi.
Bisnes telekung
Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, pelakon yang pernah popular dalam drama komedi bersiri Mat Despatch ini masih lagi aktif dalam bidang lakonan. Malah dia turut gembira kerana rezekinya dalam bidang ini tidak pernah putus-putus. Terbaru dia bakal muncul dalam drama bersiri 100 episod yang dijangka akan memulakan penggambaran tidak berapa lama lagi.
“Alhamdulillah rezeki itu sentiasa ada. Saya baru sahaja selesai dengan beberapa buah projek drama sebelum sambutan hari raya baru-baru ini. Selain berlakon sekarang saya juga sedang sibuk menjalankan perniagaan korset iaitu Kaaia by Amyza Aznan dan telekung.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Itu yang membuatkan saya tidak menang tangan. Biarpun begitu saya tetap akan mengekalkan kualiti yang terbaik. Bukan apa kalau boleh biarlah pembeli berpuas hati dengan produk yang saya keluarkan. Bukan kuantiti yang saya pentingkan tetapi kualiti produk itu sendiri,” ujarnya.
Katanya lagi, dia juga turut memasang impian untuk membuka sebuah butik dalam masa yang terdekat. Namun dia perlu merancangnya dengan lebih teliti agar tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. Untuk itu, setakat ini ibu kepada tiga orang cahaya mata ini lebih selesa menjalankan perniagaan melalui dalam talian sahaja dahulu.
Dimarahi pengarah
Apabila masuk darjah dua, mereka sekeluarga berpindah ke Kampung Melayu Subang, Selangor. Semakin menginjak dewasa dia semakin terkenal pula dengan mulut yang suka berceloteh tak berhenti. Hal tersebut membuatkan rakan-rakan di sekolah serta jiran-jiran memanggilnya dengan gelaran ‘Becok’
“Saya memang dari kecil lagi terkenal dengan mulut bising. Disebabkan itu saya suka bergaul dengan ramai orang. Habis sahaja sekolah menengah, saya banyak masa di rumah sambil melihat iklan kerja kosong di surat khabar sehinggalah satu hari saya terbaca iklan uji bakat untuk mencari pelakon baru.
“Tanpa berfikir panjang saya pun pergi tanpa pengetahuan ayah. Masa itu, M. Jamil Production sedang mencari pelakon untuk telemovie berjudul Apa Dah Jadi. Tanpa sebarang persediaan, saya pun mencuba nasib. Masuk sahaja ke dalam studio, saya disuruh bercakap. Apa lagi saya pun tak henti-henti bercakap sampai mereka sendiri suruh berhenti.
“Oleh kerana mulut yang agak becok akhirnya saya berjaya terpilih. Rasa bersyukur sangat biarpun ketika itu ayah menentang keputusan saya untuk menjadi pelakon. Biasalah orang dulu-dulu kebanyakannya memang memandang serong dengan orang seni,” ceritanya.
Tambahnya lagi, minat yang mendalam banyak membantunya untuk mengharungi perjalanan sebagai anak seni. Dia tidaklah mengharapkan popular semata-mata namun cukuplah jika peminat di luar sana mengenali dirinya dan menghargai bakat yang ada.
Sepanjang lebih 20 tahun bergelar pelakon, pelbagai suka duka yang ditempuhinya. Namun baginya itu semua asam garam yang perlu dilalui. Menyingkap permulaan kariernya satu ketika dahulu, pelakon dan juga pelawak ini pernah melalui pengalaman dimarahi oleh pengarah terkenal, Mat London. Malah kisah tersebut masih tersimpan rapi dalam memorinya.
“Ketika itu saya ditawarkan berlakon untuk drama purba. Jadi saya diarahkan untuk senyum. Namun saya tidak dapat melakukannya dengan baik kerana saya jenis yang suka ketawa. Puas juga cuba untuk senyum tetapi tetap tak boleh. Mungkin terlalu geram, akhirnya Mat London tamatkan penggambaran dan suruh sambung keesokan harinya walaupun masa tu baru pukul 11 pagi.
“Kalau nak diikutkan, zaman dulu jika pengarah hentikan penggambaran serta merta, ia dikira seperti satu penghinaan terhadap artis tersebut. Malu jugalah tapi nak buat macam mana memang Asalah saya. Itulah antara pengalaman yang saya tak boleh lupakan sampai hari ini. Namun itulah yang menjadikan saya lebih kuat dan bertahan,” ujarnya yang telah pun berlakon lebih daripada 100 buah drama sepanjang kariernya.










