Tanpa harapan melangit, Amyra Rosli kembali menggapai rentak lakonan selepas setahun memberi fokus kepada keluarga dan permata hati pertama, Aqeef Anaqi, lapan bulan.
Ia ibarat tuah ‘penyambung’ pada populariti Amyra yang barangkali ada yang melihatnya terputus tatkala mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pelakon Amar Baharin di kala puncak populariti menyalut dirinya.
Pada masa sama, Amyra juga tidak gentar kilauan yang dikecapi hanya ‘singgah’ sebentar pada dirinya.
“Saya tidak pernah takut jika tidak lagi popular. Jika saya memikirkan hal populariti, sejak awal lagi saya tidak fikir soal berkahwin dan memiliki anak. Hakikatnya, selepas berkahwin rezeki lagi bertambah. Malah, selepas kehadiran Anaqi, rezeki saya lagi berlipat ganda,” ujarnya sambil memanjat syukur.
Pujian demi pujian yang diterima melestarikan pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu, bahkan ada yang menduga pelakon berusia 27 tahun itu bakal mengaut banyak anugerah menerusi watak pelacur yang ingin mencari reda Allah yang dijayakannya dalam drama Nur.
Anugerah
“Ketika melakonkan drama tersebut, saya tidak pernah terfikir untuk dapat anugerah. Saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk drama pertama saya selepas melahirkan anak dan berehat selama setahun dalam bidang lakonan,” ujarnya yang melahirkan rasa syukur drama tersebut berjaya mencipta fenomena.
Sejak pada awal kemunculannya dalam industri seni, Amyra tidak pernah memikirkan anugerah, bahkan menganggap lakonan sebagai minat dan punca rezeki untuknya. Bagaimanapun, dirinya bersyukur andai bakat lakonannya dihargai ramai pihak.
Amyra juga sedar populariti yang melingkari kehidupan sesetengah selebriti tidak akan bertahan lama, maka disebabkan itu dia tidak terlalu taksub memikir hal tersebut (popular) dan anugerah.
Kata Amyra, takut ia memakan diri.
Rajin
Merupakan graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), ada yang beranggapan tidak sukar untuk Amyra menghadam setiap watak yang disuakan kepadanya.
Hakikatnya kata Amyra, tidak semua graduan daripada akademi itu bagus dan tidak pula mereka yang tidak belajar di akademi berkenaan tidak boleh menjadi pelakon yang bagus.
Pokok pangkal terpulang pada diri sendiri.
“Memang ramai yang meletakkan harapan yang tinggi kepada graduan Aswara. Perkara yang sama berlaku terhadap saya ketika awal-awal berlakon dahulu. Mereka lepas tangan kerana memikirkan saya tahu semua benda. Sedangkan, apa yang saya belajar tidak sama dengan apa yang dipraktikkan. Ketika di Aswara saya belajar tentang teater dan ia berbeza dengan lakonan di skrin TV.
“Saya juga tidak bersetuju jika mengatakan semua graduan Aswara itu bagus dalam lakonan. Kalau kita seorang pelakon yang rajin melakukan homework, sesiapapun boleh menjadi pelakon yang bagus. Contoh terbaik adalah pelakon-pelakon otai kita yang berbakat dalam lakonan walaupun bukan seorang graduan Aswara,” ujarnya yang tidak mengidam apa jua watak kerana setiap watak yang diberi mempunyai keistimewaan jika kita pandai mencoraknya.
Duit raya Anaqi
Menyentuh soal imej baharu Amyra pula, ada sebab mengapa si jelita itu memotong pendek rambut panjangnya yang mengurai.
“Sudah setahun saya berehat daripada berlakon. Jadi saya fikir, kalau saya kekal dengan rambut panjang, tiada apa perubahan untuk kemunculan semula saya dalam industri lakonan. Maka, disebabkan itu saya memotong pendek rambut. Pada masa sama, imej sebegitu juga memudahkan saya untuk mengurus anak kecil. Maklumlah, jika sebelum ini saya perlu bersiap lama untuk keluar. Namun dengan rambut pendek, mudah sahaja untuk saya uruskannya,” jelas ibu langsing itu.
Terlanjur bercerita tentang anak, Amyra mengaku teruja menyambut lebaran pada tahun ini. Malah, dia menerima pengalaman baharu menyambut raya dengan si kecil Anaqi yang pertama kali menyambutnya.
“Sebelum ini, jika jumpa saudara mara cerita saya banyak berkisar tentang karier lakonan. Namun, dengan adanya Anaqi, kami banyak berborak tentang anak. Banyak juga pendedahan baharu tentang anak yang saya tahu,” ujarnya sambil ketawa manja.
Menyambung lagi bicaranya, kata Amyra, Anaqi menerima banyak duit raya, bahkan daripada individu yang tidak dikenali.
“Anaqi bukan sahaja dapat duit raya jika bertandang ke rumah orang, tetapi dia ada terima duit raya daripada beberapa individu yang tidak dikenali ketika pergi ke pusat membeli-belah,” ujarnya yang memberitahu akan menyimpan duit Anaqi untuk kegunaan anaknya pada masa hadapan.











