SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari merakam takziah atas kematian bayi berusia lelaki lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditemui mati di dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor malam tadi.
Amiruddin berkata, beliau secara peribadi sebagai bapa kepada enam orang anak amat tersentuh dengan kes tersebut.
“Kampung Nakhoda dan Sungai Tua itu adalah kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang diwakili saya.
“Ini merupakan satu perkara amat sedih khususnya anak-anak kita baharu berusia di bawah setahun,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun, merakamkan tahniah kepada pihak polis yang berjaya mengesan isu sebenar kejadian ini yang pada awalnya dikatakan merupakan satu penculikan.
Adam Rayqal Mohd. Sufi yang pada mulanya didakwa diculik ditemui mati di dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor pada pukul 11 malam semalam.
Susulan kejadian itu, polis kemudiannya menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun yang kini berjaya ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K!ONLINE










