PETALING JAYA 9 Julai – Biarpun tindakannya memuat naik rakaman video isterinya sedang bersalin mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan netizen, usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman atau Aliff Syukri, 31, tetap mempertahankan tindakannya.
Malah ibu Aliff iaitu Rozita Ibrahim juga menegaskan, tindakan anaknya itu tidak membuka aib sesiapa di samping tanda penghargaan kepada golongan wanita.
“Sebagai seorang wanita dan mempunyai anak, saya tidak merasakan rakaman tersebut memalukan golongan hawa malah rasa bangga apabila ada suami seberani Aliff untuk berada di sisi isteri menyaksikan sendiri detik kelahiran anak,” katanya membela anak dan menantunya.
Dalam pada itu, Aliff tetap memohon maaf kepada semua pihak yang merasakan perbuatannya itu tidak wajar dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Sebagai seorang hamba-Nya, saya bukanlah seorang yang sempurna. Jadi, saya minta maaf,” katanya.
Sebelum ini Aliff memuat naik rakaman video isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid, 33, ketika sedang bersalin anak bongsu mereka, Yusof Al-Qardawi pada 25 Jun lalu.
Menurut pengasas syarikat kecantikan D’Herbs Healthy Sdn. Bhd., itu, niatnya sekadar mahu berkongsi setiap detik yang menggembirakan dirinya, bukannya hendak memalukan sesiapa.
Aliff berkata demikian sewaktu berlangsungnya majlis tahnik dan cukur jambul Yusof Al-Qardawi malam tadi.
Pada masa yang sama, Aliff turut mengadakan majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri. – UTUSAN ONLINE










