PUTRAJAYA 3 Julai – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan akaun peribadinya dan UMNO Bahagian Johor Bahru telah dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, pembekuan kedua-dua akaun itu dibuat kerana didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta daripada 1MDB pada November 2013.
“Ya, akaun peribadi dan UMNO Johor Bahru telah dibekukan.
“Wang ini telah digunakan sebelum pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Shahrir hadir bagi memberi keterangan kira-kira tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa SPRM telah membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, pada masa sama akaun UMNO Johor juga hampir dibekukan.
Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid sebelum Pemilihan UMNO dan ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO yang menjalankan Tugas Presiden. – UTUSAN ONLINE










