PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada pukul 9.50 pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan dana Yayasan Akal budi.
Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tiba dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam dengan kawalan daripada anggota SPRM.
Ahmad Zahid yang memakai baju batik berwarna ungu gelap kelihatan ceria ketika tiba di pekarangan bangunan berkenaan dan sempat melambai kepada media.
Seawal pukul 9 pagi, puluhan media telah berkumpul di pekarangan Ibu Pejabat SPRM bagi membuat liputan kes yang membabitkan Ahmad Zahid.
Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid dihubungi oleh SPRM meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya mengikut Akta SPRM 2009.
Semalam beliau turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan hampir lapan jam mengenai isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – K! ONLINE










