Agong kurnia watikah pelantikan - Utusan Malaysia

Agong kurnia watikah pelantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.

Mendahului senarai penerima watikah pelantikan ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar, Dr. Azfar Mohamad Mustafar yang akan bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis.

Azfar, 47, memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996 dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Ma­ritim dari tahun 2011 hingga 2015 dan Ke­tua Penolong Setiausaha (Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antara­bangsa) dari tahun 2008 hingga 2009.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, Kementerian Luar, Tan Yang Thai, 47, pula dilantik se­bagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri ­Lanka.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, China pada tahun 2014 hingga­ tahun lalu dan Penasihat Kedutaan, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow pada tahun 2011.

Pada majlis yang berlangsung di Istana Negara itu, Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan sejak tahun 2014, Datuk Roslan Abdul Rahman, 53, menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Cuba.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan dan Akaun di Kementerian Luar (2010 hingga 2014) dan Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou, China (2007 hingga 2010).

Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Ve­nezuela sejak 2016, Muzafar Shah Mus­tafa, 49, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico. Beliau pernah ber­khidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Kewangan, Kementerian Luar (2014 hingga 2016).

Watikah pelantikan itu turut dikurniakan kepada Setiausaha Bahagian (Bahagian Asia Timur) Jabatan Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Hendy Assan, 48, yang dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan. Beliau pernah berkhidmat di Jepun dan China.

Setiausaha Bahagian Asia Barat, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah, 54, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Ukraine.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 hingga tahun lepas.

Sultan Muhammad V turut mengurniakan watikah pelantikan itu kepada Setia­usaha Bahagian Kemboja, Laos, ­Myanmar dan Vietnam (CLMV) dan Ocea­nia iaitu Sarimah Akbar, 51, yang akan berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Timor Leste.

Turut dikurniakan watikah pelantikan adalah Datuk Mohammad Ali Selamat, 48, yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Kuwait. Beliau merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi sejak tahun 2015.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Perancis, Mohamad­ Razdan Jamil, 46, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sudan dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Ilham Tuah Illias, 51, dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan menerima watikah pelantikan tiga ketua perwakilan asing ke negara ini iaitu Pesuruhjaya Tinggi India, Mridul Kumar; Duta Besar Mesir, Gamal Abdelrehim Mohamed Metwally dan Duta Besar Uzbekistan, Ravshan Usmanov.

– Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN