ALOR SETAR 4 Julai – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menegaskan pendirian memberi undi menyokong pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) pada Majlis Angkat Sumpah ADUN di sini hari ini bukan satu tindakan khianat.
Sebaliknya salah seorang ADUN itu, Datuk Suraya Yaacob berkata, tindakan tersebut dilakukan atas dasar melaksanakan kewajipan bagi menterjemahkan kematangan politik Barisan Nasional (BN) untuk menyokong calon Speaker daripada PH.
“ADUN BN mengamalkan konsep patuh kepada keputusan pucuk pimpinan untuk bertindak mengikut arahan yang dibuat secara konsenses terutama ketika berdepan proses pengundian dalam DUN.
“Hasil perbincangan pucuk pimpinan pusat dan negeri memutuskan supaya tiga ADUN BN menyokong pelantikan Speaker DUN yang dicadangkan PH,” katanya dalam satu kenyataan di akaun laman media sosial Facebook miliknya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan melahirkan ketidakpuasan hati yang dibuat terhadap tindakan tiga ADUN BN yang memberi undi menyokong pelantikan Speaker DUN daripada calon PH.
Wakil Rakyat tersebut ialah ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor dan ADUN Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.
Suraya yang juga Ketua UMNO bahagian Pendang berkata, kematangan politik perlu dalam hal ehwal kelancaran persidangan DUN dan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin.
“Ia mungkin difahami bagi mereka yang kurang matang dan terikut-ikut dengan sentimen emosi namun bagi yang lebih mementingkan kepentingan rakyat maka mereka akan faham tentang keputusan itu.
“Tiada arahan untuk bertindak berkecuali seperti yang dimahukan oleh segelintir akar umbi berkenaan,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya juga yakin kedudukan ADUN kerajaan dan pembangkang yang sama jumlahnya akan menjadikan DUN Kedah sebagai contoh semak dan imbang di Malaysia.
“Bukan mudah untuk kerajaan PH berdepan barisan pembangkang dan sekiranya sedikit ketidakstabilan dalam kerajaan pakatan tersebut akan ‘memakan diri’ mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











