SUBANG JAYA – Sebanyak 53 laporan polis telah diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan mengaitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, laporan polis berhubung perkara tersebut diterima dari seluruh negara termasuk satu laporan yang dibuat oleh Ramasamy sendiri.
“Isu berkenaan pada mulanya dikendalikan oleh Kontinjen Pulau Pinang namun berikutan ia merupakan kes yang mendapat perhatian umum, siasatan kini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman.
“Siasatan masih dijalankan dan keterangan beliau (Ramasamy) akan diambil bergantung kepada keperluan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Polis oleh Konsesi Plus Malaysia Berhad kepada PDRM di Persada Plus di Subang Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor serta Pengerusi Plus Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut memaklumkan bahawa LTTE sebelum ini telah diisytihar sebagai sebuah kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – K! ONLINE









