KUALA LUMPUR – Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Ops Mega 3.0 Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah pusat beli belah terkemuka di Jalan Munshi Abdullah di sini pada Jumaat lepas.
Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, seramai 132 pati telah diperiksa dan telah menahan 43 warga asing yang terdiri daripada warganegara Indonesia (7) dan Bangladesh (36) atas pelbagai kesalahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seramai 12 lelaki warga Bangladesh didapati melakukan kesalahan dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan.
“Selain itu, 24 warga Bangladesh juga didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Sementara itu, enam warga Indonesia yang ditahan didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa manakala seorang lagi individu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE









