ALOR SETAR 26 Julai – Seramai 341 individu termasuk 28 wanita ditahan dalam Op Dadu Khas yang dijalankan di premis judi dalam talian dan pusat hiburan keluarga di Kedah sepanjang tahun hingga Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, kesemua suspek ditahan menerusi 90 serbuan judi online dan 51 serbuan pusat hiburan keluarga dalam operasi yang dijalankan sepanjang tahun sehingga Jun lalu.
“Pihak polis juga merampas 19 mesin simulator, 105 komputer dan 205 telefon bimbit termasuk wang tunai berjumlah RM50,930.00 dalam operasi yang dijalankan sepanjang tahun hingga Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, 97 daripada keseluruhan serbuan disiasat di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 (Judi Mesin) manakala 44 kes lagi disiasat di bawah Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kedah atas kesalahan Pelanggaran Syarat Lesen.
“Sebanyak 24 premis dicadangkan untuk dibatalkan lesen di Kota Setar manakala untuk daerah Kuala Muda, sebanyak tiga premis dikenal pasti untuk dibatalkan lesen perniagaan mereka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










