300 anak benih kelapa ditanam di pinggir bandar - Utusan Malaysia

300 anak benih kelapa ditanam di pinggir bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 2 Julai – Penduduk di kawasan perumahan pinggir bandar dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini disaran menanam lebih banyak anak be­nih pokok kelapa untuk menambah pendapatan selain membantu usaha mewujudkan landskap menarik.

Ketua Ahli Majlis Daerah Lipis, Datuk Abu Jimi Samat berkata, selain tanaman buah-buahan, kelapa boleh membantu penduduk di pinggir bandar memperoleh pendapatan sampingan apabila hasil berkenaan mendapat permintaan pasaran yang tinggi menjelang musim perayaan dan hari tertentu.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian telah merealisasikan projek tanaman kelapa di kawasan PBT di sini dengan merintis sumba­ngan sebanyak 300 benih kelapa kepada seramai 100 penduduk di Kampung Genting dan Kampung Pagar kawasan Penjom.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Projek ini antara pembangunan ekonomi perumahan pinggir bandar kawasan Majlis Daerah Lipis sekali gus menjadikan daerah ini bakal menjadi pengeluar utama kelapa dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kejayaan projek ini juga memenuhi aspirasi kerajaan dan Jabatan Pertanian untuk mewujudkan kawasan perumahan pinggir bandar dipenuhi tanaman kelapa sebagai sumber pendapatan penduduk dan landskap yang ceria,” katanya selepas program pelancaran penanaman Kelapa Keliling Rumah (KKR) peringkat daerah di Dewan Orang Ramai Penjom, dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, beliau me­nyampaikan anak benih kelapa kepada penduduk Kampung Genting dan Kampung Pagar serta turut menanam benih kelapa komersial sebagai gimik pelancaran di hadapan Dewan Orang Ramai Penjom.

Menurut Abu Jimi, projek ber­kenaan merupakan sumber kekayaan baharu yang diterjemah­kan menerusi transformasi pembangunan sektor pertanian termasuk tanaman durian dan nanas yang dilaksanakan di tempat lain.

“Penduduk yang menerima bantuan ini sewajarnya tidak melepaskan peluang dengan menambah jumlah tanaman pokok kelapa komersial sebagai sumber pendapatan jangka panjang untuk isi rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Lipis, Norain Azhar berkata, projek tanaman komersial itu antara transformasi bidang pertanian untuk menambah pendapatan penduduk di pinggir bandar.

“Projek ini sememangnya untuk memenuhi hasrat pemimpin kerajaan negeri sendiri yang mahukan kelapa menjadi tanaman utama di sekeliling kediaman dan persekitaran kampung termasuk pinggir bandar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN