KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 September depan sebagai keputusan sama ada untuk menerima atau menolak permohonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagi kes saman yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Pada tarikh yang sama, Hakim Datuk Yew Jen Kie turut menetapkan keputusan mahkamah sama ada menerima atau menolak permohonan saman Musa terhadap Mohd. Shafie.
Keputusan itu dibuat selepas pengurusan kes saman pemula Musa yang dibawa oleh peguamnya Tengku Fuad Ahmad.
Sementara itu, pada prosiding tersebut Mohd. Shafie pula diwakili peguam Datuk Douglas Lind.
Terdahulu, pada 5 Jun lalu, Musa mengemukakan writ saman yang disokong avidafit bagi memohon supaya dikekalkan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas beliau mengangkat sumpah secara sah di hadapan Tun Juhar pada 10 Mei lalu.
Selain itu, writ saman berkenaan juga mendakwa pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri di hadapan Tun Juhar di Istana Negeri dekat sini pada 12 Mei lalu adalah tidak mengikut perlembangaan.
Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mohd. Shafie pula mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman oleh Musa yang mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri.
Mohd. Shafie mengemukakan permohonan itu atas alasan Musa itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya. – K! ONLINE








