13 maut bot amfibia terbalik di Amerika Syarikat - Utusan Malaysia

13 maut bot amfibia terbalik di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISSOURI 20 Julai – Sekurang-kurangnya 13 orang mati lemas termasuk kanak-kanak selepas sebuah bot amfibia ‘Ride the Ducks’ yang dinaiki 31 penumpang terbalik dan karam dalam cuaca buruk di sebuah tasik, di sini semalam.

Sheriff Daerah Stone, Doug Ra­der berkata, kejadian yang berlaku di Tasik Table Rock, dekat Branson itu juga menyaksikan seramai tujuh penumpang yang cedera dibawa ke hospital berhampiran.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan pasukan penyelam semalam mengesahkan sekurang-kurangnya 11 penumpang terkorban manakala lima lagi masih hilang.

“Operasi SAR dihentikan buat sementara selepas penemuan 11 mayat tersebut sebelum di­sambung hari ini,” katanya.

Pasukan kecemasan berkata, insiden tersebut berlaku sebaik sahaja pukul tujuh petang waktu tempatan selepas ribut taufan melanda kawasan tasik berkenaan.

Dalam pada itu, Rader memaklumkan bahawa terdapat dua bot amfibia cuba memasuki tasik tersebut ketika keadaan cuaca buruk, tetapi hanya sebuah daripadanya berjaya kembali ke darat.

Video yang sempat dirakam orang ramai menunjukkan dua bot tersebut saling berpusing akibat dipukul angin kencang.

Sementara itu, jurucakap Ripley Entertainment yang menguruskan ‘Ride the Ducks’, Suzanne Smagala-Potts berkata: “Kami kini membantu pihak berkuasa yang sedang meneruskan operasi SAR,” ujarnya.

Smagala-Potts, bagaimanapun tidak dapat memastikan bilangan anak kapal yang berada atas bot berkenaan ketika kejadian berlaku.

Bot amfibia sering digunakan dalam sektor pelancongan di seluruh dunia dan pernah terlibat dalam beberapa insiden kemalangan yang menyebabkan kematian dalam tempoh dua dekad lalu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN