KUCHING – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini menyifatkan lawatan kerja rasminya ke Sarawak bermula semalam umpama pulang ke ‘rumah kedua’.
Ahli Parlimen Ampang itu turut bersyukur dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri ini kerana arahan larangan masuk ke Sarawak terhadap dirinya telah dibatalkan.
“Sebaik menjejak kaki di bumi Sarawak petang semalam, kehadiran saya bagaikan balik semula ke kampung halaman dan ‘rumah kedua’.
“Ini kerana sebelum saya dilarang masuk ke Sarawak sebelum ini, saya kerap datang ke negeri ini iaitu dalam tempoh dua hingga tiga minggu sekali,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau bersama rombongan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, kedatangan dirinya ke Sarawak adalah untuk melihat secara dekat berhubung isu-isu perumahan di negeri ini.
Katanya, fokus utama kementeriannya kini adalah bagi menyediakan rumah mampu milik bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Kita turut memberi perhatian terhadap usaha mempermudahkan proses memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan bagi kumpulan sasaran ini,” ujarnya lagi. – K! ONLINE










