HULU TERENGGANU – Seramai 20 sukarelawan daripada pelbagai agensi dan persatuan terlibat dalam menjayakan program Ziarah Ramadan di Madrasah Khairul Insan, Kampung Jenagor di sini semalam.
Program anjuran Persatuan Belia Pulau Manis Serada bersama TAC Outdoor itu bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti ziarah dalam kalangan belia terutamanya di bulan Ramadan dengan mendekati para penghuni madrasah.
Madrasah Khairul Insan yang mula dibuka pada tahun 1997 itu diasaskan oleh Zulkifli Ismail bagi membantu pelbagai golongan yang berbeza latar belakang menjalani kehidupan normal secara berkomuniti.
Penyelaras program, Mohd. Rafi Kori berkata, selain menziarahi dan beramah mesra bersama penghuni di kawasan tersebut, mereka turut menyampaikan bantuan barangan keperluan harian, makanan termasuk sumbangan wang tunai.
“Ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihak persatuan bagi memberi peluang kepada para belia mendekati serta menyelami kehidupan golongan yang pernah terjebak dengan gejala penagihan dadah serta masalah sosial yang menghuni madrasah tersebut.
“Sukarelawan yang turut serta dalam program itu turut merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai dengan menikmati juadah yang dihidangkan menggunakan talam serta menunaikan solat tarawih secara berjemaah,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan Madrasah Khairul Insan di sini semalam.
Menurut Mohd. Rafi, kawasan yang menempatkan kira-kira 200 penghuni termasuk 10 buah keluarga itu dianggap istimewa kerana ia berfungsi sebagai pusat yang menyemarakkan budaya serta warisan Melayu selain membantu golongan bermasalah menerusi terapi pemulihan rohani.
Tambah Mohd. Rafi, mereka yang turut serta dalam program ini juga bertuah kerana berpeluang menziarahi makam Sharif Muhammad Al-Baghdadi iaitu penulis Batu Bersurat Terengganu yang terletak di dalam kawasan madarasah tersebut.
“Selesai mengerjakan solat sunat tarawih, kami kemudiannya disajikan dengan persembahan daripada kumpulan Dendang Anak yang mengetengahkan elemen seni bagi menarik golongan muda untuk lebih mendekati asal-usul budaya Melayu,” ujarnya. – K! ONLINE










