Zeti pengerusi baharu Kumpulan PNB - Utusan Malaysia

Zeti pengerusi baharu Kumpulan PNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) –  Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu juga merupakan salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), berkuat kuasa 30 Jun.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, lembaga pengarah YPB dan PNB menyambut baik pelantikan Zeti, dan yakin berdasarkan pengalamannya yang luas, beliau akan dapat memberikan kepimpinan yang kukuh kepada kumpulan PNB, dalam mencapai mandat penubuhannya bagi memperkasa  kekayaan korporat untuk manfaat rakyat Malaysia.

Ia juga berkata lembaga pengarah mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan bernilai dan perkhidmatan penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan sejak dilantik pada Ogos 2016.

Selain Abdul Wahid, PNB berkata Datuk Dr Awang Adek Hussin juga akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengeusi  PNB Research Institute Sdn Bhd, berkuat kuasa 30 Jun.

Sementara itu, Menteri Kewangan DiPerbadankan (MOF Inc.) mengumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuat kuasa  28 Jun.

Berikutan pelantikan itu, keanggotaan Lembaga YPB distrukturkan semula untuk merangkumi Menteri Hal Ehwwl Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dilantik juga sebagai Pengerusi Alternatif YPB), bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang dan Zeti. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN