IPOH 8 Jun – Menteri Besar, Ahmad Faizal Uzumu mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Dihilir di sini.
Ini sekaligus menafikan dakwaan Zambry masih belum berpindah dari kediaman berkenaan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar.
Dakwaan kononnya Zambry enggan mengosongkan kediaman rasmi tersebut tular di laman sosial selepas ia dimuat naik di Facebook oleh seorang pengguna hari ini.
“Maklumat yang saya terima sebenarnya Datuk Seri Zambry telah keluar dari kediaman rasmi dengan sepenuhnya, cuma saya yang belum pindah ke kediaman itu kerana ada beberapa perkara yang sedang dibuat.
“Jadi apa yang ditularkan di media sosial kata beliau (Zambry) masih tidak keluar itu tidak tepatlah,” katanya Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan RM3.5 juta untuk Tabung Harapan Malaysia (THM) daripada beberapa syarikat dan usahawan dari negeri ini di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










