Zahid serah UMNO Kedah selesai kemelut pelantikan Speaker DUN - Utusan Malaysia

Zahid serah UMNO Kedah selesai kemelut pelantikan Speaker DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyerahkan kepada UMNO negeri dalam mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung kemelut pelantikan calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum persidangan DUN negeri bermula 4 Julai ini.

Beliau berkata, setakat ini, UMNO belum membuat keputusan rasmi sama ada menyokong atau menolak cadangan nama calon Speaker yang bakal dikemukakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, katanya, UMNO negeri sedia membuka pintu rundingan dengan kerajaan negeri  PH dan Pas sebelum membuat keputusan rasmi mengenai pelantikan Speaker.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah) dan dua daripada tiga Ahli DUN Barisan Nasional (BN) serta mereka akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di sebuah hotel di sini petang ini.

Pada majlis yang sama turut diadakan sesi memperkenalkan calon jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan Sabtu ini.

Hadir sama calon Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa serta beberapa calon Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta calon-calon Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku pilihan raya negeri (PRN) di Kedah berikutan masalah pelantikan Speaker.

Namun, katanya, masalah tersebut masih boleh diselesaikan dengan harmoni bagi menjaga kepentingan semua pihak.

“Kita harus melihat kepentingan rakyat perlu diutamakan dan pendirian UMNO nanti harus dihormati,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan lepas menyaksikan jumlah kerusi DUN Kedah antara kerajaan dan pembangkang terikat 18-18 iaitu 18 daripada PH, 15 Pas dan tiga BN. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN