KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.
Setiausaha akhbarnya, Mejar Jeneral Datuk Fadzlette Othman Merican memberitahu, Ahmad Zahid yang kini merupakan pemangku Presiden UMNO telah menghantar borang pencalonan untuk jawatan itu ke ibu pejabat parti kelmarin.
“Beliau akan bertanding jawatan Presiden dan menjadi individu pertama yang mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat UMNO semalam (kelmarin),” katanya di sini semalam.
Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO kini menjalankan tugas-tugas Presiden selepas Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya pada 12 Mei lalu apabila Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Naib Presiden UMNO yang kini merupakan pemangku Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein masih belum memutuskan jawatan yang akan ditandinginya.










