KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO yang memangku tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sedang mendahului persaingan merebut jawatan nombor satu parti itu dengan memperoleh 36 undi bahagian dalam Pemilihan UMNO penggal 2018-2021.
Berdasarkan pengumuman terkini menerusi Twitter Pemilihan UMNO, setakat pukul 5.42 petang tadi, Zahid meninggalkan pencabar terdekatnya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendapat 30 undi bahagian.
Calon veteran, Tengku Razaleigh Hamzah pula agak ketinggalan apabila memperoleh 10 undi bahagian.
Sementara itu, perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO antara Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mohamad Hasan juga sangat sengit apabila setakat ini hanya dibezakan dua undi.
Annuar memperoleh 8 undi bahagian manakala Mohamad mendapat 10 undi bahagian.
Bagi jawatan tiga kerusi Naib Presiden UMNO, persaingan juga masih terbuka dengan Datuk Seri Khaled Nordin sedang di depan apabila memperoleh tujuh undi bahagian.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekori rapat dengan enam undi bahagian manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan lima undi bahagian.
Calon-calon lain Datuk Seri Mahdzir Khalid mendapat empat undi bahagian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dua undi bahagian manakala Datuk Seri Ahmad Said satu undi bahagian. – K! ONLINE











