LONDON – Jaguh Itali, Valentino Rossi mengakui jentera Yamaha M1 2018 miliknya masih belum cukup pantas untuk memburu gelaran dunia musim ini selepas sekadar mampu meraih podium tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Itali, Ahad lalu.
Pada saingan tersebut, Rossi yang memulakan perlumbaan di petak pertama dilihat tidak mampu untuk bersaing apabila pasukan Ducati, Jorge Lorenzo dan Andrea Dovizioso menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan satu dan dua.
Rossi mengakui jentera Yamaha tiada kuasa pecutan apabila mudah dipintas oleh pasukan Honda dan Ducati terutama di laluan lurus.
“Pada pendapat peribadi, saya akui tidak mampu untuk bersaing dengan Ducati. Untuk memburu gelaran juara, perkara paling penting adalah jentera itu perlu laju di semua litar. Jika terdapat masalah ia sudah pasti memberi beban kepada pelumba itu sendiri.
“Jika kamu lihat ranking ketika ini, kita hanya dibezakan 23 mata dan jarak tersebut tidak terlalu jauh untuk dikejar. Saya akan lakukan yang terbaik dan pasukan juga akan bekerja keras bagi memastikan jentera M1 kembali kompetitif.
“Buat masa ini, saya tidak laju dan secara dasarnya kami telah memperbaiki dari segi keseimbangan jentera terutama pada sesi ujian kelayakan. Saya harap pasukan dapat pertingkatkan kelemahan yang ada pada jentera.
Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez masih kekal sebagai pendahulu perlumbaan dengan meraih 95 mata, manakala Rossi di tangga kedua dengan 72 mata, diikuti Maverick Vinales di kedudukan ketiga (67 mata). – Agensi











