PENERJUN kebangsaan, Wendy Ng Yan Yee enggan merendahkan kemampuannya untuk kembali menyinar pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Wuhan, China yang bermula esok biarpun mengakui cabaran besar bakal menantinya.
Tampil buat pertama kali pada kejohanan antarabangsa selepas digantung lapan bulan akibat doping sememangnya memberikan suasana janggal buat atlet berusia 24 tahun itu.
Wendy yang baru sahaja memulakan latihan bersama skuad kebangsaan April lalu meramalkan kesukaran untuk beraksi pada papan anjal memandangkan sudah terlalu lama meninggalkan arena kegemarannya itu.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur tersebut akan menyertai acara 3 meter (m) papan anjal individu serta kembali bergandingan dengan rakan sepasukannya, Nur Dhabitah Sabri bagi acara 3m papan anjal seirama.
“Terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran, namun saya mahu ambil pendekatan bahawa tiada apa yang mustahil pada penampilan pertama selepas digantung akibat doping sebelum ini.
“Saya akui cabaran sangat besar memandangkan baru sahaja kembali berlatih bersama skuad kebangsaan, namun saya akan cuba sedaya upaya untuk menampilkan aksi terbaik.
“Persediaan semuanya berjalan lancar seperti biasa. Tiada masalah dari segi kecergasan, cuma saya perlu segera membiasakan diri dengan rutin saya semula,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, penggantungan Wendy selama lapan bulan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) berkuat kuasa 26 Ogos 2017, iaitu tarikh sampel B diambil dan hukuman itu telah berakhir pada 26 April lalu.
Terdahulu, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan Wendy merupakan atlet yang gagal ujian doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu.
Wendy diuji positif dadah sibutramine, sejenis perangsang yang biasa dijumpai dalam produk pelansingan tetapi disenaraikan sebagai bahan terlarang oleh Agensi Antidoping Dunia (Wada).










