KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati dan putus kedua-dua belah kaki selepas dipercayai digilis kereta api di landasan kereta api kilometer 1.004 Jalan Sentul dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 36 tahun tersebut ditemui terbaring di tepi landasan dan ditemui oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, hasil siasatan awal terhadap mayat mangsa mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah dilanggar kereta api dari arah pusat bandar menghala ke Hentian Sentul dan kita percaya kejadian malang berkenaan tidak melibatkan unsur jenayah.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Munusamy lagi, sehingga kini pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. -K! ONLINE










