Warga emas maut, anak 
parah kereta bertembung - Utusan Malaysia

Warga emas maut, anak 
parah kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 9 Jun – Seorang warga emas maut setelah kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 51, Jalan Pekan-Rompin berdekatan Kampung Serun, Pekan petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, Ismail Abas, 72, dari Kampung Kawah, Sungai Lem­bing di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala manakala anaknya, Siti Zuraidah, 31, mengalami pendarahan dalaman dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan.

Pemandu sebuah lagi kereta jenis Nissan Sentra, Mansor Ibrahim, 57, yang bekerja sebagai Pembantu Makmal Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di sini juga dirawat di HTAA kerana patah paha dan cedera di tumit kaki kanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis daerah, Superintenden Amran Sidek berkata, kejadian berlaku ketika kereta Perodua Myvi berkenaan dalam perjalanan dari Rompin menghala ke Pekan manakala Nissan Sentra dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu Ismail dikatakan hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum mema­suki laluan bertentangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, Mansor yang memandu Nissan Sentra gagal mengelak lalu kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya kepada Ming­guan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Amran, berikutan kejadian itu, Ismail yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

“Sampel darah mangsa juga diambil bagi ujian toksikologi dan saksi bebas diminta untuk membantu siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakaman video kemalangan maut berkenaan yang berdurasi 60 saat tular dalam media sosial yang memaparkan Pe­rodua Myvi dipandu Ismail secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung de­ngan Nissan Sentra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini