PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh selama tiga bulan bermula hari ini bagi pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) mengosongkan rumah mereka yang disewa warga asing.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sekiranya pemilik gagal mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh tersebut, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing itu akan dikuatkuasakan dan pemilik bakal berdepan dengan penalti selain hak pemilikan rumah ditarik balik.
“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan tiada lagi warga asing menduduki rumah PPR dan ini akan dimulakan dengan rumah di bawah jagaan KPKT dan seterusnya kita akan bergerak kepada sektor-sektor yang lain,”katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Katanya, penguatkuasaan tersebut dilakukan dalam memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah selain isu-isu sosial yang sering ditimbulkan oleh warga asing yang menduduki kawasan rumah terbabit.
“Kita juga mahu mengawal selia isu harga sewa di kawasan berkenaan yang mana kita tahu kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan,” katanya. – Bernama











