KUALA LUMPUR 2 Jun – Beberapa individu sedang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penahanan dua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama wang tunai RM1.75 juta dan lebih 10 kenderaan mewah bernilai hampir RM3 juta dalam operasi yang bermula kelmarin hingga semalam.
Menurut sumber, kesemua individu yang diburu terdiri daripada orang awam dan seorang pegawai kanan Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET).
Ujarnya, kesemua mereka dipercayai berperanan sebagai proksi bagi kesemua kenderaan mewah yang dirampas daripada pegawai kanan PDRM yang ditahan.
“SPRM cari mereka termasuk pegawai dari dua agensi berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Sehingga kini tiga saksi termasuk pegawai kanan PDRM telah diambil keterangan dan sekiranya ada keperluan, mereka akan ditahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber, ketika tangkapan dilakukan, selain menemukan sejumlah wang tunai yang diletakkan di sebuah bengkel di Subang Jaya, pelbagai kenderaan mewah turut dirampas.
“Beberapa lagi kenderaan mewah juga dikesan telah diletakkan oleh suspek di beberapa kawasan tempat letak kereta sekitar Bangsar di sini bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.
Kelmarin, dua pegawai kanan yang berkhidmat dalam Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintenden telah ditahan.
Dalam serbuan tersebut, SPRM turut merampas sejumlah wang bernilai RM335,000 di bengkel tersebut.
Kedua-dua pegawai kanan tersebut kemudian dibawa ke kondominium milik mereka sebelum menemukan sejumlah wang bernilai RM520,000.
Selepas itu, kedua-dua mereka kemudiannya dibawa ke STAGG di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan menemukan wang dianggarkan lebih RM225,000 dan sejumlah lagi wang tunai di sebuah bengkel mengecat kereta.
Difahamkan, kesemua wang tersebut dipercayai diperoleh daripada sindiket-sindiket judi.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan dua pegawai STAGG Bukit Aman yang ditahan telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.










