[VIDEO]3 pengarah syarikat perusahaan internet didakwa terlibat aktiviti wang haram lebih RM122 juta - Utusan Malaysia

[VIDEO]3 pengarah syarikat perusahaan internet didakwa terlibat aktiviti wang haram lebih RM122 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Tiga pengarah syarikat perusahaan internet didakwa di dua Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM122 juta, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Teow Ee Meng, 27, Kau Fong Seng, 35 dan Wong Weng Torng, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Bhd. cawangan Pandan Indah di sini antara 6 November 2012 dan 1 Mei 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan terhadap Ee Meng dan Fong Seng dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus manakala pertuduhan terhadap Weng Torng dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-11, ketiga-tiga tertuduh sebagai pengarah MFace International Sdn. Bhd. didakwa menerima wang berjumlah RM122,883,092 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Berikutan itu kesemua tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah aktiviti wang haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Azrul membenarkan Ee Meng dan Fong Seng diikat jamin masing-masing RM600,000 dengan seorang penjamin manakala Suzana membenarkan tertuduh Weng Torng diikat jamin RM500,000.

Ketiga-tiga tertuduh turut dikenakan syarat iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Julai ini, sebutan semula dan pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lufti Mohamed sementara tertuduh diwakili peguam M. Mahendran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini