[VIDEO] Tidak perlu tuding jari dalam UMNO - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tidak perlu tuding jari dalam UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Perbuatan menuding jari dan menyalahkan individu atau pihak lain dalam UMNO sepatutnya tidak berlaku kerana ia hanya memberi gambaran buruk terhadap parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

KUALA LUMPUR 29 JUN 2018 : Temubual Sembang Online bersama calon Majlis Tertinggi UMNO iaitu Dira Abu Zahar yang dikelola oleh Wartawan Utusan Online , Mohamad Athir Ismail di studio Utusan Online di sini hari ini . GAMBAR : NOOR AZLINA JAAFAR . PEMBERITA : Mohamad Athir Ismail / UTUSAN ONLINE

Calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dira Abu Zahar berkata, beliau tidak menafikan mungkin perbuatan sedemikian merupakan formula berpolitik sesetengah pihak pada suatu ketika dahulu, tetapi kaedah tersebut tidak lagi berkesan untuk digunakan pada hari ini.

Kata beliau, ini kerana perbuatan tersebut akan mendapat liputan media dan menjadi perbualan ramai yang akhirnya menjejaskan imej parti khususnya dalam kala­ngan generasi muda.

“Semua ahli UMNO sama ada baharu atau lama kena faham kuasa media yang sema­kin meluas sekarang, jadi setiap kenyataan dan perancangan perlu diperhalusi sebelum berkongsi kepada media.

“Jangan nak semberono atau seronok-seronok sebab akhirnya akan menjauhkan lagi generasi muda untuk bersama dengan parti,” katanya dalam program Sembang Online – Aspirasi Calon Ahli MT UMNO anjuran Utusan Online di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama satu jam itu turut menjemput calon Ahli MT UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau ditanya oleh mode­rator Sembang Online, Mohamad Athir Ismail mengenai tindakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah supaya penyandang Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Idris Haron berundur ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Dira turut menjelaskan sebab beliau bertanding sebagai calon MT dalam pemilihan UMNO kali ini bukan di sayap Puteri kerana mahu memastikan terdapat suara pemimpin muda wanita di peringkat tertinggi.

Jelasnya, peluang untuk beliau menang di peringkat MT bukanlah mudah kerana perlu bertanding dengan calon-calon lain yang sebelum ini memegang jawatan dalam barisan Kabinet.

“Dulu dalam MT merupakan menteri-menteri tapi sekarang semua sama, jadi tiada masalah cuma saya kena kerja keras tiga kali ganda ke­rana bermula dari bawah dengan memastikan permintaan yang mahu perubahan dan meremajakan UMNO,” kata­nya.

Esok, pemilihan peringkat bahagian dan MT akan diadakan selepas pemilihan sayap parti berlangsung pada 23 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN