KUALA LUMPUR 8 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan agar Panel Penasihat Diraja diwujudkan bagi memberi nasihat Yang di-Pertuan Agong dalam membuat sebarang keputusan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, biarpun ada Majlis Raja-raja, namun panel itu perlu terdiri daripada orang persendirian yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini seperti mantan ketua polis negara dan ketua hakim negara.
“Keahlian panel ini terdiri mereka yang mempunyai latar belakang berbeza seperti antaranya perundangan, keselamatan dan agama yang merangkumi segala hal-hal yang berkaitan.
“Mereka ini tidak semestinya orang Melayu dan Islam dan panel berkenaan perlu mereka berasal daripada Sabah dan Sarawak. Jadi jika isu melibatkan institusi diraja ketika ini mereka boleh mendapatkan pandangan daripada ahli panel berkenaan,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, orang ramai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan protes di Istana Negara berhubung pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara
baru-baru ini hingga perkara itu mencetuskan kontroversi.
Hasan memberitahu, pemilihan mereka berdasarkan jawatan yang dipegang sebelum ini dipercayai mampu memberikan justifikasi yang adil dan saksama sekali gus mendapatkan kepercayaan orang ramai.
“Biarpun panel-panel ini memberikan pandangan namun terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tetapi kita tahu pandangan daripada panel itu adil dan saksama,” ujarnya.
Dalam pada itu, MPM akan mengadakan mesyuarat bersama Biro Perlembangaannya dalam masa terdekat bagi membincangkan isu-isu berkaitan istana dan perlembagaan sekali gus menyatakan pandangan mereka sekiranya terdapat pelantikan jawatan tertinggi kerajaan selepas ini.-UTUSAN ONLINE











