[VIDEO] Jangan cantas cerdik pandai, agamawan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jangan cantas cerdik pandai, agamawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI SHAHRIL SUFIAN HAMDAN, yang akan bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda, peluang melakukan pembaharuan dalam UMNO perlu.

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Langat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu percaya, kesungguhan parti untuk berubah kelak akan menepis tanggapan bahawa UMNO dijauhi golongan muda.
 Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia itu berkongsi pandangan mengenai pemilihan UMNO kali ini yang dilihat cukup kritikal dalam menentukan jatuh bangun parti di masa hadapan.


UTUSAN: Kenapa anda ingin bertanding?

SHAHRIL: Kita perlukan barisan kepemimpinan baharu yang mempunyai pemikiran segar. Bukan hanya pimpinan tertinggi sahaja tetapi turut melangkaui sayap.

Saya ingin menawarkan satu pendekatan baharu bagi menunjukkan barisan Pemuda mampu berbahas dan berdebat dengan hujah dan fakta. Sebelum ini bukan tiada, cuma tidak ke depan.

Dan bukan hanya melalui laman sosial seperti Facebook dan ceramah kerana senario politik tidak lagi gemar komunikasi sehala atau datang daripada satu pihak sahaja. Mereka suka perdebatan atas pentas yang melibatkan kedua-dua wakil daripada UMNO atau Pakatan Harapan atau parti lain. Ini yang orang muda lebih minat, sebab hendak te­ngok pertembungan idea, bukan lagi pertembungan jalanan.

Adakah anda yakin akan mendapat sokongan akar umbi khususnya generasi muda?

Berdasarkan semangat yang dipaparkan ahli-ahli UMNO semasa mesyuarat cawangan dan bahagian, masing-masing memberi komitmen yang tinggi dan tidak pudar walaupun parti kalah dalam pilihan raya lalu.

Ahli-ahli juga tertanya-ta­nya apa sebenarnya perjua­ngan UMNO sekarang, jadi, jangan ambil mudah semangat dan komitmen mereka itu. Barisan kepemimpinan kena cepat-cepat bertindak dan merangka pelan strategik untuk menjadi pembangkang berkualiti.

Apakah ciri-ciri calon yang boleh membangkit­kan semula UMNO?

Pa­ling utama adalah kejujuran dan keikhlasan, tiada kepentingan atau inginkan glamor. Kena pastikan mereka yang bertanding itu adalah ikhlas 150 peratus, ada idea sendiri dan tiada niat kepentingan lain untuk bertanding selain hendak membangkitkan UMNO.

Calon-calon itu juga perlu ada kesegaran dalam perjuangan, bukan sekadar berhujah dengan ayat-ayat retorik, sebaliknya biar calon itu yang isi ‘ayat tersebut’.

Ini kena ada dalam setiap calon-calon, sebab kalau bercakap tanpa menterjemahkan secara khusus, maka saya bimbang UMNO akan jadi seperti dahulu. Kita kena sedari hakikat bahawa pengamal media mahupun masyarakat akan bertanya dan menilai kita secara spesifik.

Bagaimana UMNO ingin me­ngatasi masalah perpecahan da­lam parti bagi calon-calon yang kalah nanti?

UMNO kena berubah, kena berani ambil risiko tersebut sebab bagi saya kalau menang, tak menang semua dan begitu juga kalau kalah, tak kalah semua. Ada kaedahnya kerana kita bertanding secara sihat dan ini pertandingan keluarga, bukan seperti pilihan raya yang memang berlainan ideologi. Jadi, tidak perlu terlalu khuatir atau takut sangat sebab kita sudah tiada kuasa. Siapa yang istiqamah akan terus dalam perjuangannya. Jika UMNO itu satu wadah perjuangan yang kita percaya selama ini.

Apakah janji UMNO kepada golongan cerdik pandai bahawa selepas ini mereka akan mempunyai ruang dan peluang yang le­bih untuk menyuarakan pendapat demi parti?

Sudah tentu kepemimpinan UMNO perlu ada kesediaan untuk terima golongan ini sebab cerdik pandai bukan hanya golongan yang belajar tinggi-tinggi sahaja tapi mereka yang mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan serta latar belakang yang berbeza daripada lazimnya ada dalam parti.

UMNO harus terbuka kepa­da golongan cerdik pandai dan agamawan yang selama ini susah hendak masuk UMNO. Idea mereka perlu diteliti dan jika sesuai boleh dipraktikkan.

Keahlian mereka perlu sebab ramai yang sudah berbunyi cakap susah jadi ahli UMNO dan kalau jadi ahli mungkin tidak susah sangat tapi susah hendak bertanding di pe­ringkat pusat mahu pun bahagian.

Apa jaminan mereka tidak dicantas?

Jika ada tanggapan itu lagi, saya berjanji tidak akan cantas idea atau halang pandangan atau kritikan mengenai parti. Saya harap kepemimpinan baharu dapat mengambil pendekatan serupa.

Jika isyarat dari atas terbuka, maka mudah untuk di peringkat bawah terima dan laksanakan di peringkat akar umbi. Tiada lagi kompromi dalam hal ini, maka UMNO baharu perlu beri ruang sebesar-besarnya terhadap idea demi perjuangan kita. Masing-masing kena berjiwa besar, untuk terima idea walaupun negatif.

Harapan anda dalam pemilihan UMNO kali ini?

Pemilihan ini perlu jadi titik mula proses pembaharuan UMNO yang hakiki, bukan dengan barisan kepemimpinan baharu maka masalah akan selesai tetapi mereka perlu memaparkan keberanian luar biasa. Perancangan strategi, program, pendekatan, pembawaan diri termasuk institusi Majlis Tertinggi dan jumlah cawangan semua kena bincang dan berubah. Pembaharuan yang wajib perlu ada dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMNO.

Diharap calon-calon bertan­ding dapat berkongsi pandangan dengan akar umbi mengenai apa yang patut diubah, sebelum disusuli tindakan selepas keputusan pemilihan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN