PUTRAJAYA 28 Jun – Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman tiga hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan beberapa projek pembinaan di sini bernilai RM300 juta.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pukul 9.25 pagi dengan berpakaian reman SPRM dan tangan bergari.
Lelaki bergelar Datuk yang berusia 59 tahun itu dikatakan telah ditahan SPRM di pejabatnya kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Penahanan itu dilakukan susulan serbuan yang dilakukan SPRM di sekitar Lembah Klang semalam di pejabat dan rumah Datuk tersebut bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan suspek berkenaan dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasikan beberapa projek pembinaan yang sedang dijalankan.
Menurut sumber SPRM, projek itu telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender, namun disebabkan beberapa isu sengaja diadakan, pihak dilantik berkenaan gagal melaksanakanya.
Kata sumber sama lagi, berikutan itu, projek diberikan kepada kontraktor penganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan suspek dan perkara tersebut sememangnya telah dirancang lebih awal.-UTUSAN ONLINE











