Usah tragedi menyelubungi Aidilfitri - Utusan Malaysia

Usah tragedi menyelubungi Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH sebulan berpuasa, kini umat Islam seluruh dunia dan Malaysia khususnya meraikan kemena­ngan berpuasa dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa sama-sama menyambut perayaan ini yang datang hanya setahun sekali, dengan perasaan riang dan gembira

Pada ketika ini jugalah, berpuluh-puluh ribu orang anak perantau di kota pulang ke kampung halaman untuk menziarahi keluarga masing-masing. Oleh itu, kesesakan jalan raya yang luar biasa pergi dan balik adalah sesuatu perkara yang sudah tentu dijangkakan. Perjalanan yang kebiasaannya empat sehingga enam jam boleh mencecah berbelas jam lamanya dek mengharung kesesakan jalan raya.

Meskipun begitu, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan dan asbab untuk pemandu mengabaikan peraturan jalan raya atau bertindak tergesa-gesa. Sebaliknya, dalam keadaan di mana kenderaan menjadi lebih padat, peraturan-peraturan itu seharusnya dipatuhi. Sebagai contoh, seringkali pemandu di dalam kesesakan lalu lintas mengambil jalan mudah dan menggunakan lorong kecemasan. Tidak kurang juga terdapat segelintir pihak yang membawa kenderaan melebihi had laju dengan harapan untuk cepat sampai. Terdapat juga kenderaan yang memotong dengan berbahaya walaupun pada garisan kembar.

Sekiranya didapati bersalah dan dapat ditangkap melalui rakaman video, pemandu-pemandu ini boleh didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda ratusan ringgit.

Namun, undang-undang ini harus dipatuhi bukan ke­rana kerisauan didenda dengan wang ringgit sebaliknya adalah untuk mengelakkan kemalangan jalan raya yang tidak diingini. Ada kala, tanpa kita sedari hanya kerana tindakan seorang pemandu yang cuai, menyebabkan orang lain yang kehilangan peluang untuk beraya bersama keluarga. Usahlah mementingkan diri sendiri dan meletakkan nyawa pengguna jalan raya lain dalam bahaya. Sebaliknya, semua pemandu harus berpegang pada pepatah biar lambat asal selamat.

Selain itu, ibu bapa juga tidak boleh bertindak cuai ketika memandu bersama-sama dengan anak-anak mereka. Dewasa ini, kisah-kisah kecuaian ibu bapa dalam menjaga anak-anak sering diketengahkan di media massa. Ibu bapa harus sedar bahawa menurut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) secara ringkasnya menjelaskan bahawa seorang ibu bapa yang bertindak cuai dan mengabaikan kanak-kanak yang di bawah tanggungan dan tanggungjawabnya boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, di dalam keadaan di mana rumah akan dipenuhi dengan tetamu, ia tidak boleh dijadikan alasan kelalaian ibu bapa terhadap mereka sebaliknya perlu lebih berhati-hati dan lebih peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Contoh lain berkenaan kelalaian ibu bapa adalah dalam bermain mercun. Ibu bapa juga seringkali membenarkan malah, dalam sesetengah kes menggalakkan dan membelikan anak-anak mereka mercun apatah lagi di musim perayaan ini. Sering kali di laporkan di media massa anak-anak kecil ini sering mendapat kecederaan disebabkan bermain mercun malah, di dalam sesetengah kes yang lebih teruk, membawa kepada kematian.

Bermain mercun ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 kerana dikhuatiri akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Anak-anak ini adalah aset dan masa depan negara dan alangkah ruginya masa depan mereka hancur kerana bermain mercun. Justeru, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab dalam mendidik anak-anak akan bahayanya mercun dan mengawasi kanak-kanak ini.

Hari Raya Aidilfitri satu hari yang sering ditunggu oleh semua pihak khususnya masyarakat Muslim di Malaysia. Ia adalah satu hari yang sepatutnya digunakan untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga dan bermaafan sesama kita. Oleh itu, usahkan kerana sikap mementingkan diri, tidak sabar, leka dan cuai menguasai diri menyebabkan hari penuh bermakna ini menjadi tragedi. Sebaliknya, biarlah perayaan ini menjadi memori manis bagi kita untuk dikenang selama-lamanya. Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin!

PENULIS ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN