SETELAH hampir setengah bulan berpuasa, masyarakat Islam sudah mula membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Golongan peniaga di kedai dan bazar kelihatan tak menang tangan melayan kerenah pelanggan yang pastinya ingin tampil cantik dan bergaya di Aidilfitri.
Segala persiapan dari sudut pakaian, kuih-muih, langsir, perabot dan macam-macam lagi menjadi sasaran utama. Malah bagi sesetengah orang terkeluar kata-kata ‘biar papa asal bergaya’ sebagai dorongan untuk membeli apa sahaja keperluan beraya sehingga semuanya mesti baharu walaupun terpaksa berbelanja melebihi kemampuan.
Jika diteliti kembali, tabiat membazir seolah-olah sudah sinonim dengan sikap buruk segelintir masyarakat Islam ketika Ramadan sehinggakan pelbagai bentuk pembaziran berlaku di sana sini.
Untuk itu, umat Islam diingatkan betapa hari raya bukanlah segala-galanya sehingga ada yang sanggup berhutang dan bergolok gadai. Syariat Islam sangat menganjurkan umatnya supaya bersederhana dan tidak membazir.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’:27).
Oleh itu, usah membazir ketika berbelanja untuk persiapan hari raya dengan membeli pakaian mahal dan berjenama atau membeli apa sahaja semata-mata untuk lebih menonjol berbanding jiran dan saudara.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang menunjukkan kesyukuran atas pelbagai kurnia Ilahi di samping tidak lupa menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada golongan yang memerlukan. Ini dapat dilakukan dengan tidak lupa membayar zakat fitrah yang diwajibkan selain menghulurkan derma yang disunatkan.
Justeru itu, umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa berjimat cermat dan membeli mengikut kemampuan. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Amalan berjimat cermat juga selari dengan didikan Ramadan yang mengajar Muslimin supaya sentiasa mengamalkan sikap wasatiyah dalam kehidupan seharian.
NAQIB ZHARFAN BASYSYASY OMAR
Pasir Gudang










