RUSIA 16 Jun – Jaringan lewat Jose Gimenez membolehkan Uruguay meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Dunia 2018 selepas perlawanan penuh dramatik menentang Mesir yang menyaksikan Mohamed Salah hanya berada di bangku pemain simpanan.
Uruguay menang perlawanan dalam Kumpulan A itu 1-0 menerusi jaringan Gimenez pada minit ke-90 yang turut menyaksikan Luis Suarez mempamerkan aksi hambar.
Penyerang Uruguay, Suarez dilihat banyak mensia-siakan peluang untuk mendapatkan jaringan ketika digandingkan bersama Edinson Cavani, manakala Salah yang telah menjaringkan 44 gol untuk Liverpool musim ini masih lagi bergelut dengan kecederaan bahu yang dihadapinya dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.
Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez berkata, Mesir telah beraksi dengan baik sepanjang perlawanan tersebut malah hampir menyebabkan mereka berkongsi mata.
“Tanpa Salah, Mesir masih mampu beraksi dengan baik dan cuba bayangkan jika pemain itu berada di tahap terbaik ketika ini, namun kami telah bersedia menghadapi kemungkinan itu sebelum perlawanan berlangsung,” kata Tabarez.
Sementara itu, jurulatih Mesir, Hector Cuper memberikan gambaran bakal menurunkan Salah dalam perlawanan kedua pasukannya menentang tuan rumah Rusia.
“Salah adalah pemain penting buat kami, namun anda tetap memerlukan sebuah pasukan yang hebat dan kami adalah pasukan yang hebat.
“Bagi saya Salah akan memainkan peranan penting buat kami dalam perlawanan seterusnya nanti,” kata Cuper.
Keputusan perlawanan tersebut membolehkan Rusia kekal sebagai pendahulu Kumpulan A selepas mereka menang 5-0 ke atas Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pada Khamis. – AGENSI










