LONDON – Uruguay yakin mereka mampu memberi kejutan kepada juara Eropah, Portugal dan layak ke suku akhir apabila kedua-dua pasukan bertemu di pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi nanti.
Meskipun Portugal masih belum kalah dalam 17 perlawanan antarabangsa setakat ini, Uruguay pula memiliki skuad yang lebih seimbang dengan benteng pertahanan yang kukuh dan gandingan pengalaman di jentera perancang.
Jentera serangan mereka dikemudi dua pemain berkelas dunia, Luis Suarez dan Edinson Cavani yang menyumbang gol ketika menewaskan Rusia 3-0 pada aksi terakhir kumpulan baru-baru ini.
Begitupun, jurulatih veteran Uruguay, Oscar Tabarez tetap risau dengan kelibat Cristiano Ronaldo yang meledakkan empat gol setakat ini.
“Cristiano Ronaldo adalah antara penyerang terbaik di dunia. Lebih penting dia adalah pemimpin dalam pasukannya.
“Tiada seorang pun yang mampu menghalangnya, walaupun (pertahanan Uruguay) Diego Godin.
“Kami perlu bermain secara berpasukan dan telah membuktikannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Kami tidak risau mengenai perkara ini, namun kami memandang serius dan tidak mahu terlalu terbawa-bawa untuk menang di atas padang,” ujarnya.
Bagi Suarez pula, dua kempen Piala Dunia sebelum ini menjadi igauan buruk buatnya selepas dibuang padang ketika menentang Ghana di Afrika Selatan 2010 ekoran menampan bola dengan sengaja dan menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Brazil 2014 yang menyebabkan dia digantung empat bulan.
“Saya mahu cipta kemungkinan bahawa ini adalah tahun Piala Dunia saya selepas terpaksa pulang dengan hampa pada 2014.
“Persaingan dengan Ronaldo di peringkat kelab adalah sesuatu yang berbeza. Ini adalah Piala Dunia dan kami bermain untuk pasukan kebangsaan,” jelas penyerang barcelona itu mengenai Ronaldo yang beraksi buat musuh tradisi, Real Madrid. – Agensi











